SERANGAN UDARA ISRAEL TERHADAP GAZA BERLAKU LAGI
Serangan udara Israel tercetus pada 16 Jun 2021, yang pertama selepas gencatan senjata dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada 21 Mei 2021, lebih kurang 22 hari yang lalu. Menurut laporan daripada Agensi Berita Anadolu, jet pejuang tentera zionis Israel mula melancarkan serangan terhadap lokasi yang dipercayai merupakan kedudukan Kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza pada awal pagi Rabu, 16 Jun 2021.
Serangan Udara Israel kali ini didakwa menyasarkan kedudukan Kumpulan Hamas iaitu di sekitar Bandar Khan Younis dan Zeitoun yang dipercayai oleh tentera zionis Israel sebagai pusat operasi dan strategik Kumpulan Hamas. Tentera zionis Israel dalam satu kenyataan lain pula mengatakan bahawa serangan tersebut adalah respon tentera Zionis Israel terhadap serangan belon api ke bahagian selatan Israel yang dipercayai dari Semenanjung Gaza dan dilakukan oleh Kumpulan Hamas.
Kesahihan fakta berhubung bilangan mangsa yang cedera atau meninggal dunia akibat serangan udara Israel ini belum mendapat sebarang makluman atau pengesahan secara rasmi daripada Kementerian Kesihatan Negara Palestin. Ini adalah termasuk anggaran kerugian harta benda dan kerosakan bangunan atau rumah yang juga belum diisytiharkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Palestin.
Semoga serangan udara Israel kali ini tidak menjadi “trigger” dalam permulaan episod baru siri keganasan dan kezaliman di Semenanjung Gaza. Situasi semasa ini amat mengecewakan memandangkan gencatan senjata telah dipersetujui oleh kedua – dua pihak pada awal pagi 21 Mei yang menandakan pengakhiran siri pengeboman 11 hari tentera zionis Israel.
Pengeboman di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat oleh tentera zionis Israel yang berlangsung selama 11 hari itu dilaporkan telah mengorbankan sekurang – kurangnya 289 orang. Statistik kematian ini adalah termasuk wanita dan kanak-kanak selain daripada orang tua.
Selain itu, siri pengeboman tersebut juga telah mengakibatkan banyak kemusnahan lain seperti pusat kesihatan, pejabat media dan sekolah di Semenanjung Gaza.
Diharapkan serangan udara Israel ini tidak mendatangkan kerosakan besar demi keamanan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Sumber BERNAMA