DISKAUN SAMAN BAGI KESALAHAN TRAFIK SEBANYAK 50 PERATUS BERMULA 18 JUN 2021 HINGGA 18 JULAI 2021
17 Jun 2021 – Berita baik untuk semua individu yang mempunyai saman bagi kesalahan trafik (tertakluk jenis kesalahan trafik yang dilakukan). Bermula 18 Jun 2021 hingga 18 Julai 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan diskaun saman kesalahan trafik dengan kadar 50 peratus.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman iaitu Datuk Azisman Alias, berkata saman trafik boleh dibayar secara atas talian melalui portal rasmi PDRM dan aplikasi MyBayar Saman. Pembayaran boleh dibuat mulai esok (18 Jun 2021) bagi membolehkan diskaun saman 50 peratus tersebut dinikmati.
Tambah beliau lagi, tawaran diskaun saman selama sebulan ini adalah tidak termasuk kes saman trafik yang melibatkan sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan trafik utama dilakukan dalam tahun 2021, kesalahan trafik melibatkan kenderaan berat dan kesalahan trafik yang melibatkan pengubahsuaian ekzos. Jadi, orang awam diminta memastikan tidak timbul kekeliruan dalam tawaran diskaun saman trafik tersebut.
Sepanjang tempoh tawaran diskaun saman ini, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan ibu pejabat polis daerah akan ditutup bagi mengurangkan dan membendung penularan jangkitan Covid 19 selaras tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa sehingga 28 Jun 2021. Kaedah pembayaran yang disediakan secara atas talian ini (online) adalah sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan dalam memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai “cashless” sepanjang pandemik Covid 19. Pendekatan ini akan mengelakkan keperluan berlakunya orang awam berpusu – pusu ke kaunter bayaran saman PDRM bagi menikmati tawaran ini.
Menurut beliau lagi, seiring dengan tawaran diskaun saman trafik ini, aplikasi telefon pintar MyBayar Saman telah ditambah baik. Penambahbaikan yang dibuat membolehkan aplikasi ini turut digunakan oleh syarikat selain daripada untuk kegunaan individu.
Beliau juga mengatakan bahawa orang awam boleh memuat turun aplikasi MyBayar Saman ini melalui platform telefon pintar masing – masing bergantung kepada sistem operasi yang digunakan.
BACA JUGA SERANGAN TERBARU ISRAEL DI GAZA
sumber motoqar dot com
imej sinarharian dot com