MAKANAN YANG MENINGKATKAN METABOLISME BADAN
Metabolisme badan merupakan satu proses yang mana makanan yang dihadam oleh tubuh badan kita ditukarkan kepada tenaga. Tidak semua makanan yang dimakan akan ditukarkan kepada tenaga kerana keperluan tersebut bergantung kepada sejauh mana tubuh kita memerlukan tenaga. Jika kita makan banyak, dan hanya sedikit sahaja makanan ditukar kepada tenaga, lebihan makanan tersebut akan ditukarkan kepada lemak yang disimpan di bawah lapisan epidermis (kulit). Secara ringkasnya, metabolisme yang tinggi memastikan tiada makanan yang dimakan kekal berada di dalam tubuh dan kita akan lebih bertenaga. Tenaga yang dimaksudkan di sini tidak terhad kepada tenaga untuk kita bergerak sahaja, tetapi turut merangkumi tenaga untuk bahagian dalaman badan kita berfungsi. Oleh itu, adalah penting untuk kita meningkatkan metabolisme badan bagi memastikan tiada lemak berlebihan di dalam badan di samping tubuh yang lebih bertenaga.
Dalam konteks penjagaan berat badan, tahap metabolisme yang tinggi akan memastikan pengumpulan lemak yang minimum ini memastikan bentuk dan berat badan sentiasa pada tahap yang ideal. Selain aktiviti fizikal dan suplemen, terdapat makanan tertentu yang mampu membantu kita meningkatkan metabolisme. Maklumlah, bukan semua individu mempunyai masa dan ruang untuk melakukan aktiviti fizikal dan mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli suplemen – suplemen. Jadi, bolehlah berusaha meningkatkan metabolisme melalui pemakanan yang melibatkan makanan seperti berikut.
Cili Merah: Cili merah merupakan makanan yang terkenal dalam meningkatkan metabolisme badan. Walaupun kepedasan cili mungkin menyebabkan sesetengah orang berasa kurang selesa dan terasa ingin “membuang, Capsaicin yang terkandung dalam cili membantu dalam mempercepat proses pertukaran makanan kepada tenaga. Jadi, apa kata lebihkan cili dalam makanan anda terutamanya kepada penggemar makanan pedas.
Halia: Halia merupakan herba yang sinonim dalam masakan di Malaysia. Malahan halia turut dijadikan minuman yang enak. Herba ini juga dikatakan mampu membantu melawaskan penyingkiran angin dari tubuh. Selepas ini bolehlah order ayam masak halia dan teh o halia jika makan di kedai.
Teh Hijau: Teh hijau memang terkenal kepada individu yang nak mengurangkan berat badan. Kafein dalam teh hijau membantu meningkatkan metabolisme badan melalui peningkatan suhu dalam badan. Jadikan teh hijau sebagai minuman kegemaran selepas ini, cuma pastikan jangan terlalu banyak gula yang mengiringinya.
Serat: Serat terdapat dalam buah, sayur dan bijirin. Serat membantu meningkatkan tahap pencernaan makanan yang membantu dalam meningkatkan metabolisme badan. Boleh lebihkan pengambilan sayuran untuk mendapatkan lebih serat dalam tubuh.
Kulit Kayu Manis: Kulit kayu manis seperti halia, banyak digunakan dalam masakan di Malaysia. Seperti kebanyakan herba, kulit kayu manis membantu meningkatkan suhu badan dan menyebabkan tubuh membakar makanan dengan lebih pantas sekaligus meningkatkan metabolisme badan.
Makanan berprotein tinggi: Protein memerlukan pembakaran tenaga yang tinggi untuk penghadaman berbanding zat lain. Pemakanan yang melibatkan banyak protein boleh membantu meningkatkan metabolisme badan kerana tubuh bekerja lebih kuat untuk menghadam protein.