Kisah Batu Penyu Yang Dianimasikan Oleh Pelajar UiTM

Kisah Batu Penyu Yang Dianimasikan Oleh Pelajar UiTM

Semestinya lagenda Batu Penyu tidak diketahui ramai malahan penduduk di Negeri Terengganu sendiri. Untuk pemahaman secara ringkas tentang lagenda ini, dua orang pelajar tahun akhir di UiTM Puncak Alam, Nur Fasihah Syakirin bt Amra dan Tengku Ahmad Nasrullah b Tg. Shaiful Anuar telah menghasilkan kartun animasi berkenaan Batu Penyu. Semoga kartun animasi ini memberi pemahamam secara ringkas terhadadap lagenda Batu Penyu ini.

 

Begitulah kisah lagenda Batu Penyu secara ringkasnya. Untuk mengetahui cerita ini dengan lebih mendalam, boleh membaca kisah di bawah ini.

LAGENDA BATU PENYU

Batu Penyu

Batu Penyu

Alkisah cerita lagenda yang disampaikan oleh orang-orang tua dari mulut ke mulut, di kawasan persisir Terengganu hiduplah dua ekor penyu, jantan dan betina. Sepasang penyu tersebut sentiasa hidup rukun dan damai. Ke mana pun pergi, mereka selalu berdua. Pada suatu hari, mereka berenang menyusuri pantai Terengganu. Setelah berhari-hari berenang, mereka pun tiba di suatu tempat yang belum pernah mereka datangi.

“Bang, kita sekarang berada di mana?” tanya Penyu Betina.

“Entahlah, dik. Abang juga tidak tahu. Abang belum pernah ke tempat ini,” jawab Penyu Jantan.

Pada saat itu, ada seekor Ikan Buntal melintas di tempat itu lalu bertanya.

‘Hei, kamu berdua hendak ke mana?”

“Sebenarnya kami tersesat,” jawab Penyu Jantan.

“Kalau boleh kami nak tahu, apa nama tempat ini?” tanya Penyu Betina mula gelisah.

“Tempat ini bernama Laut Rantau Abang. Di daratan sana, ada sebuah bukit memiliki taman yang amat indah,” jawab Ikan Buntal.

“Pernahkah kamu ke situ?” tanya Penyu Jantan.

“Belum,” jawab Ikan Buntal singkat.

“Kenapa?” tanya Penyu Jantan ingin tahu.

“Semua jenis ikan, termasuk saya, tidak akan dapat pergi ke tempat itu. Kamu berdua beruntung kerana dapat hidup di darat dan di laut. Sedangkan saya hanya dapat hidup di laut, sehingga tidak dapat menikmati keindahan taman itu,” jawab Ikan Buntal merendah diri.

Mendengar keterangan Ikan Buntal, kedua penyu itu menjadi teruja. Selepas itu mereka pun naik ke darat hendak bermain-main di taman yang terletak di atas bukit itu itu. Dalam perjalanan menuju ke taman, mereka bertemu dengan seekor Ketam.

”Kamu berdua hendak ke mana?” tanya Ketam itu.

”Kami hen

dak bermain-main di taman itu. Kata Ikan Buntal, pemandangan di tempat i

tu sangat indah,” jawab Penyu Jantan.

”Memang benar. Tetapi, kamu berdua harus berhati-hati kerana di taman itu ada sebuah pantang larang yang tidak boleh dilanggar,”jelas si Ketam.

”Apa pantangnya?” tanya Penyu Jantan ingin kepastian.

Di dalam taman itu ada kolam, tetapi air kolam yang ada di taman itu tidak boleh diminum. Sesiapa pun yang meminumnya akan terkena sumpahan,” kata Ketam itu mengingatkan.

”Sumpahan?” soal Penyu Jantan sambil tersenyum simpul seolah-olah tidak percaya.

Berlainan pula dengan Penyu Betina, ia sangat khuatir terhadap pantang larang itu. Setelah itu, kedua penyu itu meneruskan perjalanan menuju ke taman. Sebelum mereka sampai, tiba-tiba si Penyu Betina berhenti.

”Kenapa berhenti dik?” tanya Penyu Jantan hairan.

”Bang! Adik takut dengan pantang larang tu. Lebih baik kita pulang saja,” ajak Penyu Betina.

“Tidak, dik! Adik jangan terlalu percaya dengan kata-kata si Ketam. Dia hanya nak menipu kita,” jawab Penyu Jantan tetap bertegas hendak pergi ke taman itu.

”Jangan, bang! Kita jangan pergi ke sana. Mari, kita pulang saja bang!” Penyu Betina terus memujuk Penyu Jantan.

”Kalau adik takut, adik tunggu di sini saja. Abang harus pergi ke taman itu,” kata Penyu Jantan yang begitu teruja mendengar keindahan taman tersebut.

Walaupun telah berkali-kali dipujuk, Penyu Jantan tetap meneruskan niatnya. Akhirnya, Penyu Betina pun mengalah.

”Tapi, jangan lama-lama sangat ya, bang!” kata Penyu Betina dengan nada khuatir.

Sejurus kemudian, Penyu Jantan berjalan menuju ke bukit itu. Sesampai di sana, dia begitu kagum melihat keindahan taman di atas bukit tersebut. Ia pun berjalan disekeliling untuk menikmati pemandangan yang indah. Setelah beberapa lama, Penyu Jantan merasa haus. Ia teringat kata-kata si Ketam bahawa di taman itu ada sebuah kolam yang sangat jernih airnya.

Setelah beberapa lama mencari, ia pun menemui kolam itu. Tanpa berfikir panjang, ia segera mendekati dan meminum airnya.

”Aduhaiii…, segaaarnya,” ucap Penyu Jantan puas setelah meneguk air di kolam itu.

”Ah, ketam itu hanya ingin membohongiku”, Ujarnya. “Setelah minum air kolam ini aku tidak apa-apa. Badanku terasa sihat dan segar” getusnya lagi.

Namun tanpa diduga, tiba-tiba penglihatannya mulai kabur dan kepalanya menjadi pusing.

”Aduuuhhhh, sakitnya kepalaku,” Penyu Jantan menjerit kesakitan.

Perlahan-lahan, seluruh tubuhnya menjadi kaku dan akhirnya tidak dapat bergerak. Walaupun berkali-kali berusaha untuk menggerakkan keempat kakinya untuk melangkah, tetapi tetap tidak boleh bergerak. Beberapa saat kemudian, tiba-tiba langit menjadi gelap. Petir sambar-nyambar. Hujan pun turun dengan lebatnya. Dalam sekelip waktu, tiba-tiba Penyu Jantan berubah menjadi batu. Setelah itu langit pun kembali terang. Rupanya ia benar-benar terkena sumpahan, kerana telah melanggar pantang larang itu.

Sementara itu, Penyu Betina yang sejak tadi menunggu mulai khuatir terhadap keadaan Penyu Jantan.

”Kenapa abang masih belum datang? Jangan-jangan terjadi sesuatu dengannya,” Penyu Betina mula gelisah.

Tidak lama kemudian seekor burung camar menghampirinya.

”Hei, kenapa kamu kelihatan murung?” tanya Burung Camar.

”Iya. Sejak tadi suamiku belum kembali dari taman itu,” jawab Penyu Betina cemas.

”Jadi, penyu di taman itu suamimu?” tanya Burung Camar dengan serius.

”Benar. Ada kamu melihatnya, Camar?” Penyu Betina balik bertanya.

”Ya, tadi ketika melintas di atas taman itu, saya melihat ada seekor penyu berada di pinggir kolam. Setelah saya hampiri, rupanya ia sudah menjadi batu. Rupanya seakan terkena sumpahan kerana meminum air kolam di taman itu,” jawab Burung Camar.

”Ha, suamiku menjadi Batu!” Penyu Betina tersentak seperti tidak percaya.

”Jadi, benar apa yang dikatakan si Ketam,” sambungnya.

Setelah mendengar khabar buruk itu, Penyu Betina sangat sedih. Namun, ia tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya, ia pun memutuskan untuk kembali ke laut. Setiap musim bertelur, iaitu bulan Mei hingga Ogos, Penyu Betina pergi ke Pantai Rantau Abang untuk bertelur di samping melawat batu penyu itu. Setiap kali mengeluarkan telur, ia selalu menangis karena teringat dengan Penyu Jantan.

Sejak itu, seluruh keturunan penyu itu selalu pergi ke tempat itu untuk bertelur. Setiap kali bertelur, mereka selalu menangis. Menurut kepercayaan masyarakat, mereka menangis kerana merasa hiba terhadap nasib yang telah menimpa nenek moyang mereka, si Penyu Jantan yang terkena sumpahan. Masyarakat setempat memanggil Penyu Jantan yang terkena sumpahan itu sebagai Batu Penyu. Hingga saat ini, Batu Penyu tersebut dapat kita saksikan di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.

Batu Penyu

Batu Penyu

* * *
Demikian cerita lagenda Batu Penyu dari Terengganu. Cerita rakyat di atas termasuk di dalam cerita teladan yang mengandungi unsur-unsur moral. Salah satu unsur moral yang terkandung di dalamnya akibat tidak mendengar kata dengan tidak mengindahkan sebarang nasihat. Sifat ini tercermin pada perilaku si Penyu Jantan yang tidak mahu mendengar nasihat si Penyu Betina dan si Ketam untuk tidak meminum air kolam yang ada di taman tersebut yang akhirnya membawa malapetaka kepada dirinya sendiri.

 

Subscribe channel Telegram kami untuk terus mendapatkan pelbagai berita dan perkongsian yang menarik.
»»»»»»»»Travula«««««««««

Like juga page facebook kami:

»»»»»»»»Travel Trending Tular Terkini«««««««««

Add Comment