201. Berbalik kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital Free Trade Zone yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi e-Fulfilment Hub, Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi melonjakkan negara dalam perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA sebagai gateway serantau.
202. Fasa Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi digital dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini:
Pertama: 83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan
Kedua: Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800 ringgit, untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-commerce serantau.
Tuan Yang Dipertua,
203. Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up tempatan.
204. Sukacita diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan ‘regulatory sandbox’ bagi memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan model perniagaan baharu, yang akan dilaksanakan oleh semua Regulator berkaitan.
Tuan Yang Dipertua,
205. PE-TUNJANG KETUJUH: MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN PENYAMPAIAN GLC DAN PERKHIDMATAN AWAM.
206. Selaras dengan falsafah pembangunan growth with equity, Malaysia berhasrat mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan pengagihan hasil ekonomi yang lebih saksama kepada rakyat.
207. Bagi tujuan ini, syarikat GLC akan merintis teladan kepada sektor korporat melalui KPI bagi meningkatkan nisbah pampasan pekerja, selaras dengan pertumbuhan produktiviti seperti berikut:
Pertama: GLC akan meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pekerjanya, seperti menerusi pembayaran gaji dan elaun, secara berperingkat;
Kedua: Memperkenalkan flexible benefits, yakni pekerja diberi pilihan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, dengan menukar kelayakan cuti tahunan dan kesihatan kepada ganjaran tunai;
Ketiga: Menambah baik flexible work arrangements, untuk menggalakkan work-life balance melalui pengubahsuaian waktu bekerja mingguan, waktu kerja anjal dan kerja separa masa;
Keempat: Memperkenalkan kemudahan lepasan cuti untuk menunaikan umrah;
Kelima: Bagi menyokong ibu bapa bekerja, GLC akan menyediakan taska di pejabat utama, dan kemudahan pengurangan waktu bekerja untuk pekerja wanita yang mengandung; dan
Keenam: Meningkatkan pelaburan dalam latihan, khususnya melaksanakan kursus kemahiran digital untuk pekerja dan bantuan pendidikan untuk anak pekerja.
Tuan Yang Dipertua,
208. Berhubung hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak, sukacita Kerajaan mengumumkan bantuan 1.7 bilion ringgit kepada mereka, dan juga:
Pertamanya: Menaikkan elaun warga emas 50 ringgit menjadi 350 ringgit sebulan, memanfaatkan hampir 144 ribu orang, dengan peruntukan 603 juta ringgit; dan
Keduanya: Menaikkan elaun OKU yang bekerja, tidak bekerja dan penjaga OKU sebanyak 50 ringgit sebulan, memanfaatkan lebih 163 ribu orang dengan peruntukan 100 juta ringgit.
209. Selain itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual, Kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Pada tahun hadapan, tiga lagi mahkamah akan ditubuhkan.
Tuan Yang Dipertua,
210. Kepada penjawat awam,… bagi memudahkan mereka memiliki rumah idaman, mulai 1 Januari 2018, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam akan melaksanakan:
Pertama: Membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf;
Kedua: Memasukkan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan perumahan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA;
Ketiga: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama atau joint-loan daripada LPPSA, antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua pemohon adalah anggota perkhidmatan awam; dan
Keempat: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang pemohon adalah anggota perkhidmatan awam,….
Manakala pemohon bersama bukan penjawat awam perlu menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau agensi yang mempunyai skim pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua.
Tuan Yang Dipertua,
211. PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI. Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu dan dapat meramalkan apakah rupa bentuk, wajah dunia pada masa mendatang.
212. Tapi pastinya, Allah Hu Ta’ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya.
213. Berbekalkan mafhum Surah Al-A’raf ayat 96, di mana Tuhan akan melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa.
214. Sebab itulah dalam konteks negara ini, Kerajaan mensasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang:
Pertamanya: High Income Advanced Economy pada tahun 2020;
Kedua: Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025;
Ketiga: Menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030;
Keempat: Watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040; dan
Kelimanya: InsyaAllah,… kita akan mencapai sebuah
ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia.
Tuan Yang Dipertua,
215. Hakikatnya, keluarga adalah institusi nukleus paling penting dalam membentuk nilai dan pengutuhan insan. Kerana, kesepaduan sosial lazimnya bermula daripada keharmonian dan kebahagiaan keluarga.
216. Untuk itu, Kerajaan akan mewujudkan satu entiti baru yang dinamakan Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi atau SERI di bawah JPM, dan juga menaik taraf KITA-UKM atau Institut Kajian Etnik UKM sebagai institusi kebangsaan. Peruntukan yang sewajarnya akan disediakan oleh Kerajaan.
217. SERI berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta pelaksanaan program juga projek pembangunan negara terhadap rakyat. Manakala KITA menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan mewujudkan indeks pembangunan sosial negara.
218. Sebagai analoginya, jika EPU berperanan seumpama the brain dalam menggubal dasar ekonomi, manakala, ICU sebagai hands and legs dalam pemantauan projek, maka KITA dan SERI akan berfungsi sebagai the soul or the heart. Ia mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi TN50 bagi menangani gejala sosial.
219. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa menghargai peranan NGO-NGO dan akan terus berkerjasama dengan mereka dalam menangani masalah sosial. Penekanan akan diberikan kepada institusi keluarga yang merupakan nukleus yang paling kecil, namun paling penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat kita.
Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari,
220. Saya tahu,… ramai yang ternanti-nanti pengumuman-pengumuman tertentu kepada 1.6 juta penjawat awam, sebagaimana yang saya war-warkan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 pada awal bulan ini.
221. Lantas, demi menghargai sumbangan para penjawat awam, khabar gembira yang ditunggu-tunggu itu sudah pun tiba. Saya mengumumkan:
Pertama: Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;
Kedua: Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib;
Ketiga: Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan;
Keempat: Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;
Kelima: Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah;
Keenam: Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;
Ketujuh: Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi;
Kelapan: Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan pulang lebih awal sejam.
Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja Kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,… syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan;
Kesembilan: Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun;
Kesepuluh: Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house;
Kesebelas: Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit sebulan melibatkan lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kedua belas: Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara Kerajaan.
Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.
Tuan Yang Dipertua,
222. Sebagai negara Islam yang progresif dan dinamik, Kerajaan menghargai bakti Ketua Kampung serta Tok Batin. Untuk itu, Kerajaan mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit melibatkan 9,800 orang. Seribu ringgit akan dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit menjelang Hari Raya Aidilfitri.
223. Bagi mempastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat dan tenteram, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk meneruskan pemberian geran Komuniti Penduduk 1Malaysia sehingga 10 ribu ringgit kepada persatuan penduduk yang berdaftar.
224. Selain itu, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk GiatMara melaksanakan program latihan dalam komuniti, khususnya di 50 kawasan Projek Perumahan Rakyat untuk fasa pertama.
Tuan Yang Dipertua,
225. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati,… tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Itti-fa-qiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Setulus takziah kita ucapkan kepada keluarga yang terlibat.
226. Demi memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan, khususnya pengurusan sekolah tahfiz, diperuntukkan 50 juta ringgit kepada GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.
227. Selain itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan.
228. Di samping itu, selain peruntukan 588 juta ringgit bagi bayaran elaun bulanan kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir yang diterima selama ini, untuk lebih menghargai mereka termasuk ‘Tok Siak’, Kerajaan sukacita mengumumkan,…
Bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit kepada mereka. Seribu ringgit dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, memanfaatkan lebih 65 ribu orang dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
229. Demikianlah moga kita dapat berasakan, bak kata orang tua-tua, sejuk Dewan Parlimen Yang Mulia ini dek redup cuaca petang, agarnya Tuhan memayung-mayungi dan merahmat-rahmati pembentangan Bajet 2018 ini.
230. Mengambil iktibar daripada sirah perjuangan para Anbiya’, golongan solihin dan seluruh kehebatan sejarah bangsa kita sendiri, malah, turut dipesan oleh Imam Ghazali dan Bapak Hamka bahawa,… apalah guna kita hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa.
231. Akan tetapi, apa yang Kerajaan mahukan adalah, sebuah bangsa yang bukan sahaja hebat fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
232. Pucuk pangkalnya, sepanjang berbulan-bulan yang lalu, segala kerja keras dan titik peluh Kerajaan secara kolektif, melibatkan semua Kementerian dan agensi, pihak swasta, NGO, para belia, kumpulan profesional, dan,… ter-amat utama pelbagai lapisan rakyat yang turut menyumbang idea dan cadangan melalui pelbagai platform dan saluran, dalam merangka Naskhah Besar ini.
233. Kerana itulah, belanjawan ini mencipta tawarikh sebagai sebuah Bajet yang paling inklusif pernah dipersembahkan.
234. Semuanya, tidak lain dan tidak bukan telah dikarang dan disusun dalam memenuhi tuntutan DHO’-RU-RIYYAT, HAA-JI-YAT dan TAH-SI-NI-YAT, demi mensejahterakan kehidupan rakyat, sekaligus memakmurkan negara.
235. Maka, Tuan Yang Dipertua serta seluruh rakyat Malaysia, pada hemah saya, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah,….. belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara ini, kerana ianya bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,… dan secara peribadinya,… boleh ditanda sejarah sebagai “IBU – SEGALA BAJET”.
236. Sesungguhnya, bagi pihak Kerajaan, saya berani berkata demikian, kerana, pada Bajet kali ini, telah terhimpun dan terungkap dalamnya pelbagai premis yang menjadi asas kepada sebuah Bajet Komprehensif, mengambil hitung seawal kepentingan bayi yang masih dalam kandungan sehingga lahir ke dunia ini, sampailah urusan masa hadapan negara.
Tuan Yang Dipertua,
237. Oleh semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang.
238. Realitinya, pakatan pembangkang-lah sebenarnya yang selama ini,… berada dalam Keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,… mereka curiga-mencurigai antara satu sama lain,… malah, mereka saling guna-memperguna sesama sendiri,… dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam Bahasa Inggeris there is no certainty in political leadership, how can they be trusted to provide a sound economic leadership.
Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong pula,… nak meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan tambah balik SST,… nak memotong cukai itu dan cukai ini,… nak menghapuskan pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,… nak memperkenalkan subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi bersasar,… dengan izin sekali lagi bak kata orang putih, THE ONLY THING CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY IN-CON-SIS-TENT.
Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,… asyik-asyik u-turn,… and more u-turn,… sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni.
Tuan Yang Dipertua,
239. Lalu, syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala, kerana berkat kegigihan usaha Kerajaan selama ini, dikurniakan hasil bagi dituai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian.
240. Kepada Penjawat Awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma. Bagi menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya saya mengumumkan,….
Bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu seribu ringgit pada awal Januari 2018, dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun hadapan.
Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara
Kerajaan, bayaran khas sebanyak 750 ringgit, iaitu 500
ringgit dibayar pada Januari 2018, dan 250 ringgit lagi
menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Saudara dan Saudari Sahabat Seperjuanganku Sekalian,
241. Oleh itu, biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,… tak sedikit pun kan goyah Barisan ini,… kerana kita yakin bahawa, rakyat kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan.
242. Terlebih penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan terus bersatu hati dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa hadapan Malaysia yang cerah, saujana mata memandang.
243. Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila rakyat dan Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,…
Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah jadinya…
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysi
Yang Dikasihi,
244. Menyudahi kalam, dalam melakar dan mencarta titian masa depan negara, seumpama membidak buah-buah catur. Kita harus membaca gerakan dengan cermat dan mengatur strategi dengan penuh berhati-hati.
245. Dan segalanya hanya mampu diperbuat dan boleh dicapai dengan adanya kerjasama ikhlas sepasukan. Bertuahlah saya kerana mempunyai, bukan sekadar seorang Timbalan Perdana Menteri, tapi jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia,… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
246. Termustahak juga segala wala’ dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri, Pimpinan-Pimpinan Parti Komponen dalam menakhoda bahtera Malaysia ini.
247. Lalunya, bersumpah dan berjanjilah,… bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun terpenggal putus tangan dari badan,… sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,… amanah dan harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan tergadai kepada pihak lawan.
248. Ayuhlah,… kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing,… sampai ketitisan darah yang terakhir,… membawa Barisan Nasional,…. menuju kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. InsyaAllah.
249. KepadaMu ya Allah, kami berdoa dan berserah. Selamat dan afiatkan tubuh Malaysia, zahir dan batin.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.