KEPALA AIR? APAKAH IANYA? DAN SETIAP ORANG MESTI TAHU
Pada 18 Ogos 2021 (Rabu), rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan banjir kilat yang melanda kawasan sekitar Gunung Jerai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan berlakunya fenomena kepala air. Fenomena kepala air sememangnya sering kali menjadi buah mulut atau topik yang diambil perhatian terutamanya penggiat aktiviti-aktiviti mendaki dan berkhemah kerana mereka seringkali menggunakan sungai sebagai punca bekalan air mahupun untuk bermandi manda.
Oleh itu, pada kali ini, admin nak berkongsi sedikit info berkenaan Fenomena Kepala Air. Mungkin ada di kalangan pembaca-pembaca Travula ingin mengetahuinya dan boleh dijadikan panduan ketika melakukan aktiviti-aktiviti mendaki dan perkhemahan seterusnya mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.
Apa itu Kepala Air?
Kepala air atau boleh pada bahasa mudahnya ialah sumber sungai yang bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunya daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.
Mengapakah Kepala Air ini Bahaya?
Kepala air ini dikatakan berbahaya disebabkan aliran air yang deras dan sangat besar ditambah dengan elemen-elemen lain seperti kelodak, batu dan kayu balak. Selain itu, kepala air ini akan merempuh apa sahaja objek yang berada di hadapannya dan kemungkinan akan menarik sekali objek tersebut ke dalam arus berkenaan.
Apakah Langkah Keselamatan yang boleh diambil untuk mengelakkan Kepala Air ini?
Bagi mengelakkan kepala air dan seterusnya kejadian yang tidak diingini, anda perlu mengetahui tanda-tanda awal kejadian kepala air dan bersedia untuk pulang sekiranya tanda-tanda ini mula kelihatan. Antaranya:
- Keadaan langit gelap di bahagian hulu sungai (Kawasan Puncak Bukit) disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
- Bunyi dentuman mengakibatkan gerakan batu-batan. Air sungai kelihatan berbuih dan meningkat secara tiba-tiba bersama-sama kelodak, daun reput atau ranting kayu yang muncul dengan banyak di permukaan air.
- Siren amaran berbunyi. Siren hanya wujud di sesetengah tempat sahaja sebagai contoh; Kawasan Air Terjun Sekayu dan Kota Tinggi.
- Perubahan arus sungai yang tiba-tiba deras akibat cuaca di puncak bukit gelap (kemungkinan hujan)
- Prihatin dengan perubahan cuaca ketika melakukan aktiviti air dan selalu melihat keadaan cuaca di puncak bukit berkemungkinan berbeza dengan kawasan kita berada.
Itu sahaja perkongsian admin pada kali ini. Diharapkan posting kali ini memberikan anda pengetahuan baru dan panduan sekiranya anda sedang melakukan aktiviti air di sungai mahupun kawasan air terjun.