Ringkasan Sidang Media Khas Menteri Pertahanan – 20 Mac 2020
Hari ini telah masuk ke hari ketiga (3) Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 (Rabu) bagi membasmi penularan wabak penyakit COVID-19 ini. Menurut laporan, hanya 60% daripada rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini dan selebihnya masih berdegil dan enggan mematuhinya. Jika perkara ini berterusan, negara kita terpaksa menggunakan perkhidmatan tentera dan juga melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sekarang ini empat belas (14) hari sahaja.
Pada hari ini, telah diadakan satu sidang media khas Menteri Pertahanan iaitu YBhg Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob berhubung perkara Perintah Kawalan Pergerakan ini. Daripada sidang media khas tersebut. Beberapa perkara dapat diringkaskan untuk paparan umum. Antaranya:
- Tentera akan membantu polis dalam pemantauan keadaan untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Mulai AHAD ini.
- 23 rakyat Malaysia di Iran dan 94 orang di Itali akan pulang pada minggu hadapan dan akan terus dikuarantinkan.
- Polis boleh mengambil tindakan terhadap individu yang sakit tetapi enggan melaporkan keadaan mereka.
- Semua pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura oleh bekerja seperti biasa dengan syarat mereka perlu tinggal di Negara Republik itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
- Mereka yang telah pulang ke kampung, perlu kekal di kampung mereka.
- Jangan dipersoalkan kuasa pihak polis dan tentera dalam hal keselamatan negara.
- Kerajaan tidak merancang untuk mengumumkan darurat.
- Seramai 4000 orang ahli tabligh masih belum tampil secara sukarela untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
- Majikan tidak boleh memaksa pekerja mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
- Kerajaan akan menanggung kos makanan IPTA/IPTS yang tidak dapat pulang ke kampung.
- Sekatan jalan raya oleh pihak polis akan diteruskan dan sebanyak 11,000 kenderaan telah diperiksa sehingga semalam.
Melihat kepada sidang Media Khas oleh Menteri Pertahanan menunjukkan kepada kita bahawa Malaysia memandang serius akan perihal Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelakkan membasmi penularan wabak penyakit COVID-19 ini. Diharapkan rakyat Malaysia semua dapat mengembleng tenaga dalam sama sama mematuhi peraturan dan arahan yang diberikan oleh kerajaan. Kalau ditanya apa yang anda boleh buat untuk negara? Maka sekarang la masanya untuk kita sama-sama lakukannya.