Hukum cabutan bertuah dalam sesuatu majlis

Hukum Cabutan Bertuah

Jika dilihat trend sekarang, banyak majlis yang diadakan oleh pelbagai pihak sering menganjurkan selingan ataupun program seperti cabutan bertuah. Majlis-majlis di sekolah turut mengadakan selingan cabutan bertuah ini untuk menambah lebih seri pada majlis ini. Majlis seperti Kejohanan Sukan sekolah terutamanya banyak memasukkan elemen cabutan bertuah bagi lebih memeriahkan lagi majlis.

APA hukum cabutan bertuah? Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. . Namun sebelum kita melihat bentuk cabutan bertuah, elok jika dilihat dari sudut hukum kes cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan al-musabaqat atau pertandingan. Jika tidak kena caranya, dengan mudah akan jatuh menjadi judi ataupun gharar. Sebelum menentukan hukum cabutan bertuah, eloklah teliti dahulu perkongsian ini.

Dalam masalah judi, keputusan majlis fiqh antarabangsa, Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy dalam sidangnya ke-14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan seperti berikut:

1 Disebabkan oleh jenis permainan – iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .

2 Disebabkan oleh hadiahnya – iaitu

apabila hadiahnya diambil daripada kumpulan wang penyertaan semua peserta.

Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh berkenaan mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama iaitu:

“Setiap permainan yang mensyaratkan yang kalah untuk membayar sesuatu.

” Mengambil harta orang lain dalam situasi mengambil risiko (mukhatarah) iaitu terdedah kepada antara dapat atau tidak dapat. Ulama menyebut yang ertinya “Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung” (Hasyiah Al-Bajuri, 2/521).

Berdasarkan keputusan itu, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi:

1 Mereka yang ingin menyertai cabutan

mestilah membayar yuran tertentu secara langsung seperti:

(a) Secara tunai iaitu berdepan dengan memberikan RMxxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza, hukumnya tetap haram. (Rujuk kitab Al-Badai’ Al-Sonai’, Al-Kasani)

(b) Secara tunai melalui alat telekomunikasi. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon ialah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini satu nombor telefon khas akan diberikan dengan kos RM1 seminit.

(c) Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM100 bagi mereka yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi yang tidak menyertai yuran hanyalah RM90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.

(d) Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain di mana peserta menerima SMS mendakwa memenangi hadiah cabutan bertuah yang diadakan di luar negara. Bagaimanapun peserta diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu. Hukum begini adalah haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.

2 Mereka yang ingin menyertai cabutan

perlu membayar yuran secara tidak langsung iaitu yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi daripada biasa. Sebagai contoh, pihak pasar raya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan yang telah dinaikkan harganya daripada harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.

3 Dua orang bermain tenis, kedua-duanya

mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya. Majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai haram. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma’ tentang pengharamannya.

4 Dua orang sedang bermain tenis

bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang tenis. Ulama silam berkata yang bermaksud, “Tidak harus (haram) kerana terdapat dalamnya unsur judi. Umpamanya seorang berkata kepada rakannya jika engkau tewaskan aku maka ambil hadiah itu daripadaku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju”( Badai As-Sonaie; Al-Kasani).

Hukumnya ialah judi walaupun ada unsur usaha daripada kedua-dua belah pihak dan bukan permainan nasib semata-mata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak reda meredainya. Tiada reda dalam perihal haram. Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali

 Penulisan ini adalah daripada sumber Dr Zaharuddin.

2 Comments

  1. ADIE November 15, 2017
    • admin December 4, 2017

Add Comment