Apa hukum merokok ?
Pada zaman sekarang, sebahagian besar kaum lelaki (perempuan segelintir) adalah penghisap rokok. Di Malaysia ini, walaupun harga rokok sudah dinaikkan dengan pelbagai cukai, namun, keuntungan hasil daripada jualan rokok di Malaysia masih tinggi. Penghisap rokok masih lagi tidak serik untuk membeli rokok mahupun harga semakin tinggi dek kerana terdapat pelbagai pilihan rokok yang lain terutamanya rokok seludup.
Mahupun sudah pelbagai kaedah termasuk meletakkan gambar gambar punca penyakit disebabkan oleh rokok pada kotak rokok, namun, penghisap rokok masih lagi tidak takut untuk membeli rokok tersebut.
Erti Rokok dan Merokok
Rokok menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tembakau yg digulung dlm daun nipah (kertas atau apa apa sahaja). Sedangkan merokok pula ialah perbuatan menghisap rokok.
Jenis Rokok
Dengan peredaran zaman dan masa, banyak syarikat rokok telah menjenamakan rokok dan menaiktarafkannya. Antara jenis rokok yang terkenal ialah Dunhill, Benson & Hedges, Kent, Lucky Strike, Rothmans International dan banyak lagi.
Pertama: Fatwa Terdahulu
- Imam Syafie telah menyatakan dalam kitabnya yang masyhur al-Umm
“Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu atau disedut) yang boleh memabukkan, perbuatan itu adalah jelas haram.”
Maksudnya (termasuklah) juga yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggapnya (memfatwakan) adalah haram. Allah Azzawajalla mengharamkan (apa pun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri mereka sendiri.
- Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam Fath Al Mu’in, beliau menyebut tentang dua alasan mengapa sesuatu perkara itu diharamkan dalam Islam:
- Ia mendatangkan kerosakan yang nyata atau menimbulkan yang tersembunyi.
- Ia merosakkan tubuh badan dengan jelas.
- al-‘Allamah Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhish Fatawa Ba’dh al-Aimmah al-Muta’akhkhirin (hal. 260) berkata:
“ Tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai sesuatu yang halal yang paling buruk dan boleh mengkhayalkan dan berlakunya pembaziran harta.”
Tembakau bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Pengharaman mengenainya telah difatwakan oleh ulama tasawuf seperti al-Qutb Sayidina al-Habib Abdullah al-Haddad, al-Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat keduanya dan ulama lain yang sependapat dengan mereka.
Begitu juga al-Habib al-Imam al-Husain bin Syeikh Abu Bakar bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras mengenai tembakau, beliau (al-Habib) mengatakan:
“ Aku khuatir akan orang yang tidak bertaubat daripada merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan su’ al-khatimah (mati yang berkesudahan buruk).”
- Al-Qalyubi : Dalam Majmu ‘ah Sab’ah Kutub Mufidah ada menyebut kenyataan al-Qalyubi:
“Bahawa sultan (pada zaman al-Qalyubi) telah memerintahkan naib sultan membuat pengisytiharan kepada orang ramai supaya tidak merokok di pasar-pasar dan dikedai kopi. Mereka yang melanggar perintah itu adalah berdosa. Oleh kerana itu, sekarang (pada zaman al-Qalyubi) diharamkan merokok kerana taat kepada perintah raja.”
Kedua: Fatwa Mutakhir atau semasa
- Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (mantan Mufti al-Diyar al-Misriyyah) dalam kitabnya Fatawa Syariyyah wa Buhuth Islamiyyah, mengupas hukum merokok itu:
“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama fiqah dari pelbagai mazhab Islam pun membincangkannya untuk untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip(kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: “ Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus.” Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal(keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang(luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram dan makruh.”
- Al-Imam al-Akhbar Mahmud Syaltut: Syeikh al-Azhar Mesir dalam Al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah, (hlm. 384) menyebut mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta:
“Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap orang lain yang tidak merokok.”
- Sheikh Abdullah Babatein memfatwakan: Kami mengharamkan rokok dengan dua sebab utama:
- Boleh memabukkan apabila dihisap atau boleh mengkhayalkan.
- Tembakau atau rokok adalah benda keji, kotor(busuk dan buruk) dan dikategorikan oleh syarak sebagai: “Benda keji, benda kotor dan boleh membinasakan.”
Benda seperti ini nyata diharamkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya:… Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”
(Surah al-A’raf 7:157)
- Syeikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin: “Merokok adalah haram hukumnya berdasarkan makna yang terdapat daripada zahir ayat al-Quran dan al-Sunnah serta iktibar yang benar.”
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”
(Surah al-Baqarah 2: 195)
Maknanya, janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Wajh ad-dilalah (aspek penilaian) daripada ayat tersebutadalah merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.
Keputusan Majlis Fatwa
- Haiah Kibar Ulama: Dari Lajnah Daimah Lil Buhuth al-Ilmiah wa Ifta’, Arab Saudi yang dibukukan melalui majalah al-Buhuth al-Islamiyyah 5/289 telah mengharamkan rokok.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor: Mewartakan fatwa pengharaman rokok berkuat kuasa pada 7 Dis 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989. Di dalam Enakmen tersebut dijelaskan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi orang Islam.
- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah: Berpegang kepada fatwa merokok adalah haram. Walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan, merokok boleh mendatangkan mudharat.
- Kementerian Kehakiman dan Hal Ehwal Islam Emiriah Arab Bersatu(UAE) mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram. Para Imam umumnya menyatakan sokongan terhadap fatwa ini menerusi khutbah Jumaat.
Mereka mengemukakan dalil syari’ serta bukti perubatan dan saintifik yang menunjukkan merokok adalah punca sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang boleh menyebabkan maut, sebagai contoh penyakit kanser.
Imam menyebut firman dan hadis sebagai bukti kukuh bahawa merokok dilarang oleh syarak. Merokok termasuk dalam perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT. Ini berdasarkan hakikat bahawa apa jua yang membawa kepada kerosakan kepada diri dan harta serta masyarakat dianggap maksiat. Oleh itu merokok termasuk didalam perkara-perkara yang dilarang dalam Islam
Alasan & Hujahan Pengharaman Rokok
- Membahayakan kesihatan
Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)”
(Surah al-Baqarah 2: 195)
Dr. Muhammad Ali al-Bar seorang doktor yang juga penulis Hal al-Tabgh wa al-Tadkhin min al-Muharramat terkenal dalam bidang ini. Beliau menegaskan:
“Kesan buruk ke atas kesihatan disebabkan rokok sekarang adalah lebih berbahaya daripada penyakit taun, kolera, cacar penyakit paru-paru dan kusta.”
- Memberi mudharat kepada yang lain
Sabda Rasulullah SAW:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibnu Majah (2340)
- Rokok mempunyai racun:
Menurut buku Rokok dan Keharamannya yang memuatkan tulisan Abdullah bin Abdul Rahman al-Sind:
“ Nikotin merupakan suatu bahan beracun(sejenis dadah yang terdapat dalam daun tembakau) yang lebih bias(keras) kesannya daripada segala racun.
Seandainya setitik daripada nikotin diletakkan di atas lidah seekor anjing, nescaya anjing itu akan matio serta merta, sedangkan anjing itu sejenis haiwan yang lebih tahan menghadapi racun daripada manusia. (Satu suntikan yang mengandungi 70 miligram nikotin dapat membunuh manusia dalam beberapa minit sahaja.”
Menurut Pengarah Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak, bahawa setiap rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun.
- Membazir harta :
Firman Allah swt dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 :
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya al-Muhalla (7/503, masalah no. 1027) menegaskan : “pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan haram adalah :
- Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, samada banyak ataupun sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
- Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
- Membazirkan wang, walaupun dalam jumlah yang kecil, membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.
Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berkata :
“Tidak dapat disangkal lagi, menggunakan wang untuk membeli rokok itu adalah sama ertinya dengan membuang wang”.
Sabda Rasulullah saw daripada al-Mughirah bin Syu’bah bahawa Rasulullah saw bersabda :
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ: عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَمَنَعَ وَهَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keatas kamu penderhakaan terhadap ibu-ibu, membunuh anak-anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci kepada kamu bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”
(Riwayat al-Bukhari no.5975 dan Muslim no.593)
- Rokok sebagai al-Khaba’ith.
Firman Allah swt dalam surah al-A’raf ayat 157 :
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya : “Dan Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
Huraian mengenai al-Khaba’ith ialah :
- Apa jua perkara yang menjijikan dan tidak sukai oleh tabiat suci atau pembawaan normal manusia, seperti bangkai dan darah yang mengalir.
- Sesuatu yang menjadi sebab kerosakkan dan bahaya atau daripada sumber-sumber yang memudharatkan kepada tubuh badan, seperti babi yang boleh memberi kesan buruk kepada pemakanan.
- Sesuatu yang mememudharatkan dari segi agama seperti binatang sembelihan yang disembelih untuk menghampirkan diri kepada selain Allah swt.
Sementara jijik (keji dan buruk) dari segi harta benda pula ialah segala harta benda yang diperoleh bukan dengan jalan hak dan halal, seperti riba’,rasuah, mencuri, merompak dan lain-lain usaha yang menjijikkan.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Sesungguhnya isu merokok adalah isu yang dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi sebenarnya besar kesan terhadap individu yang terbabit. Perlu dinyatakan di sini banyak akibat yang mudarat dan tidak baik berlaku kepada perokok dan orang sekelilingnya. Antaranya pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun di peringkat negara di billion dollar pada peringkat dunia. Begitu juga dengan kematian kadarnya seperti 2014 menunjukkan hampir 6 juta kepada perokok dan juga yang berada di sekelilingnya kerana terkesan akibat asap rokok. Angka tersebut bertambah dari setahun ke setahun.
Sekali lagi suka saya pertegaskan bahawa pendapat yang paling kuat dan rajih bahawa merokok hukumnya haram. Saya nukilkan pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mengumpul sejumlah tokoh ulama’ dalam kitabnya Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah 1/693-710 antaranya:
- Ulama Mesir: Syeikhul Islam Ahmad al-Sanhuri al-Buhuti al-Hanbali dan Syeikhul Malikiyyah Ibrahim al-Laqqani.
- Ulama Maghribi: Syeikh Abu Ghaith al-Qasyasyi al-Maliki
- Ulama Syam: Syeikh Najmuddin bin Badruddin bin Mufassir al-Qur’an al-Arabi al-Ghazzi al-Amiri al-Syafie
- Ulama Yaman: Syeikh Ibrahim bin Jam’an dan muridnya Syeikh Abu Bakar bin Ahdal
- Ulama al-Haramain: al-Muhaqqiq Abdul Malik al-Ishami dan muridnya Muhammad bin Allamah dan Sayyid Umar al-Basri
- Ulama Turki: Syeikh al-A’zham Muhammad al-Khawajah, Syeikh Isa al-Sahwah al-Hanafi, Syeikh Makki bin Faruh al-Makki dan Sayyid Sa’d al-Balkhi al-Madani.
Sumber dari jaringan Mufti Wilayah Persekutuan / 10 Mei 2015 bersamaan 21 Rejab 1436H